بسم الله الرحمن الرحيم
Dalam dekapan Ukhuwwah,
aku mengenal cinta kerana Allah,
aku disiram baja rindu berjumpa di Jannah.
Dalam dekapan Ukhuwwah
sesekali ada juga tergigit lidah,
terkadang tercetus juga di hati rasa marah,
hakikat manusia yang pasti buat salah,
ironinya mengajar aku mengenal erti mengalah.
Dalam dekapan Ukhuwwah,
terus saja rasa sayang bercambah,
didada terukir uhibbukum fillah,
melentur aku memandang yang lain sebagai qudwah,
menghantar aku mengenal erti dakwah.
dan
Dalam dekapan Dakwah,
dihati tersemat sebuah cita nan indah,
mengimpi darjat seorang syahidah,
menjadi pembakar semangat untuk terus melangkah,
walau terkadang rasa susah,
walau terkadang rasa lelah.
Dalam dekapan Dakwah,
aku dilingkari tugas sebagai khalifah,
dicipta bukan sia-sia tanpa arah,
sebaliknya dicipta untuk laksanakan sebuah amanah,
menyeru manusia kembali kepada satu Ilah,
sujud tunduk hanya kepada Allah.
Dalam dekapan Dakwah,
tidak semua yang diseru menyerah,
hingga mengalir airmata darah,
keringat mengalir menghulur tadhiyah,
buat aku mengerti akan Sunnatullah,
tidak sempurna dakwah tanpa mehnah.
dan
Dalam dekapan Mehnah,
membawa aku menjelajah erti tabah,
memaksa aku supaya terus gagah,
mengingatkan aku hanyalah insan yang lemah,
punya iman yang bisa goyah bila disergah.
Dalam dekapan Mehnah,
pautan syukur kugantung pada Allah,
kerana disini kehidupan aku terarah,
melalui jalan syariah ditetapkan Yang Maha Pemurah,
menghadapi seribu tribulasi dan jahiliyah,
namun jiwaku tenang tidak resah,
kerana melalui mehnah,
aku belajar tentang himmah dan hikmah,
aku mengenal erti sebenar sebuah tarbiyah.
1132 PM
Hawariyyun.
No comments:
Post a Comment