Tuesday, January 20, 2015

Titik keseimbangan

بسم الله الرحمن الرحيم


Keseimbangan diperlukan dalam hidup. Untuk membolehkan manusia hidup dengan penuh harmoni dan sejahtera. Tanpa keseimbangan, semua perkara akan menjadi huru-hara. Lihat sahaja dunia hari ini. Bukan berniat untuk menuding jari, apatah lagi menuduh sesiapa menjadi dalang disebalik kekusutan yang menghambat penduduk dunia akhir-akhir ini. Merata-rata isu terrorisme yang sering dikaitkan dengan muslim dijaja media. Sedangkan penduduk muslim di timur tengah banyak menjadi mangsa kepada kekejaman entah tangan manusia mana.

Mungkin salah satu sebabnya kerana tiada keseimbangan dalam kemahuan setiap manusia. Jika kamu tamak, maka kamu sudah pun melebihi titik keseimbangan keinginan terhadap sesuatu. Jika kamu cinta, kalau tidak berpada, akan melebihi tahap suka yang sepatutnya. Perkara ini mungkin secara tidak langsung mendorong kamu untuk berbuat sesuka hatimu, janji apa yang kamu idamkan ada dalam genggaman.

Dan sebenarnya isu yang mahu aku bawa, adalah dalam mencari titik keseimbangan antara golongan tua dan jiwa muda. Ya. Mengucapkan hikmatus syuyukh wa hamasah asy-syabab mudah, tapi melaksanakannya payah. Sukar. Dua golongan yang dibesarkan dalam era yang berbeza, pasti terdapat banyak percangggahan dalam pemikiran.

Golongan yang lebih tua yang dibesarkan dengan hidup penuh adat yang terkadang jauh lari dari garis Islam yang sebenar pasti mati-mati akan cuba memenangkan adat. Tidak kira apa adanya. Biar mati anak, jangan mati adat. Kerana itu sudah sebati dalam hidupnya.

Jiwa muda yang konon-kononnya mahu mengembalikan cara hidup Islam sebenar pula sekeras-kerasnya berpegang kepada pegangan diri. Bukan. Tidak salah. Malah bagus untuk menegakkan hukum Allah. Namun tarik rambut dalam tepung kena berhati-hati, agar tidak berselerak tepung disekeliling. Berhikmahlah. Hormati mereka yang lebih tua. Berlembutlah selagi tidak melanggar batas syariat.


p/s: berkasar dan membuatkan orang terasa pun tidak bagus, malah tidak menunjukkan akhlak islamiyah.