Thursday, June 28, 2012

KAMU!

بسم الله الرحمن الرحيم

Dari jauh aku melihat kamu, kamu dan kamu. Dalam hati terselit rasa kagum. Betapa Islam itu mekar dalam dirimu. Aku jadi malu sendiri. Andai semangat itu mampu aku celup dan ambil sedikit untuk disapukan pada hati yang semakin hari semakin lemah dek tarikan-tarikan syaitan durjana. Namun tidak bisa. Sudah pasti tidak mampu untuk aku lakukan itu. Kerana semangat itu sudah pasti tidak boleh ditransfer seperti haba kalinya.

Kadang-kadang terduduk aku melihat kesungguhan kamu. Bergerak ke sana ke mari hanya demi untuk mencapai matlamat yang satu itu. Kamu seakan-akan tidak kenal erti lelah. Seolah-olah tiada perkataan letih dalam kamus hidup kamu. Malahan kamu masih bisa tersenyum mekar, yang bisa menenangkan jiwa siapa sahaja yang melihatnya. Jauh di lubuk hati, ingin sekali aku menceduk walau sesenduk cuma akan kesungguhan kamu itu agar diri ini juga mampu bergerak kemana sahaja demi memenuhi tuntutan yang satu itu.

Dalam diri kamu aku melihat sebuah cita yang sentiasa berkobar. Yang mana cita itu mengatasi segala kehendak duniawimu. kekentalan  diri kamu dalam menonggah arus kehidupan yang penuh dihiasi bunga-bunga jahiliyyah demi sebuah cita membuatkan aku terpegun seketika. Dan sering kali aku berdoa kalau-kalau bisa untuk aku menagih walau segenggam cuma dari lautan kekentalan mu.


infiru khifafan wa tsiqalan-quote favourite kamu :)

Jazakillah wahai kamu. Terima Kasih Allah kerana menghantar kamu buat aku, untuk aku belajar banyak tentang rona-rona kehidupan. Semoga Allah terus merahmati kamu dan memberi aku semangat seperti kamu jua, agar kita sama-sama mampu menjadi mujahid dan hawariyyun yang berjihad fi sabilillah. Allahu ghayatuna!


Sunday, June 17, 2012

isra' mikraj : bukan sekadar peristiwa?

بسم الله الرحمن الرحيم


27 Rejab. Jika waktu sekolah dulu kala, pasti ada ceramah tentang isra' mikraj yang diberi oleh ustaz. Boleh kata saban tahun ceramah tentang isra' dan mikraj diulang. Sampaikan ada sesetengah antara kita yang mampu menghafal plot kisah isra' dan mikraj.

Namun begitu, hafalan hanya tinggal hafalan tanpa meninggalkan kesan dihati. Sedangkan isra' dan mikraj itu bukan calang-calang peristiwa. Jika dilihat secara mendalam, sangat besar makna isra' dan mikraj itu buat kita sebagai umat Islam.

Isra' dan mikraj membuktikan kekuasaan Allah yang menjadikan sebuah rentetan peristiwa yang jika diukur dengan logik akal manusia, pasti buntu dibuatnya. peristiwa isra' yang merakamkan perjalanan dari masjidil haram ke baitul maqdis yang mengambil masa berhari-hari jika dilakukan dengan menaiki unta, dan peristiwa mikraj iaitu perjalanan Rasulullah dari baitul maqdis ke sidratul muntaha berlaku hanya dalam satu malam. Subhanallah. Betapa disitu terserlah akan kekuasaan Rabbul Jalil.

Peristiwa Mikraj itu sendiri membuktikan yang alam semesta ini wujud. Rasulullah diangkat dari satu langit ke satu langit, membuktikan angkasa lepas itu bukan hanya sekadar teori para saintis. Malahan Rasulullah berjaya sampai ke sidratul muntaha yang mana para angkasawan pada hari ini tidak mungkin akan sampai ke tempat tersebut, melainkan dengan izin Allah belaka. Allahu Akhbar.


Dan yang sangat specialnya isra' dan mikraj, ketika inilah Rasulullah diperintah Allah untuk melakukan solat fardhu yang kita lakukan 5 kali sehari semalam. Perintah solat itu bukan hanya sekadar perintah dari Allah, malahan merupakan hadiah yang tidak ternilai harganya. Melalui perintah ini, kita sebagai umat Islam diberi masa khusus 5 kali sehari untuk berbicara dengan Allah. bukankah itu satu peluang eksklusif yang Allah berikan kepada kita? Allahu Allah. 

Seharusnya kita merasa sangat terharu dan bersyukur dengan dihadiahkan solat 5 waktu sehari semalam. Kerana di dalam solat itu, tersembunyi seribu satu kemanisan. didalam solat itu terdapat sebuah ketenangan yang tidak bisa diraih dari hiruk pikuk dunia. didalam solat itu, tercipta hubungan  antara Allah Maha Pencipta dan kita sebagai hamba. dan yang pasti, didalam solat itu terselit pelbagai kejayaan yang tidak tercapai dek akal.


jadi apalagi yang ditunggu? ayo laksanakan solatmu sesempurna mungkin sebagai tanda syukur seorang hamba kepada Tuannya. Ayo kita sahut seruan hayya alas solah hayya alal falah (mari menuju solat, mari menuju kejayaan).


Allahu a'lam


Friday, June 8, 2012

Semut-Semutan

بسم الله الرحمن الرحيم

pernah dengar cerita pasal semut?

semut. antara makhluk Allah yang tersangatlah kecil. kalau kena gigit dengan semut merah, memang sakit tambah gatal-gatal jadinya. boleh berbintat badan. tapi pada sekecil-kecil makhluk itu, banyak yang boleh kita belajar.

semut punya semangat ukhuwah yang sangat tinggi. andai kata semut ni terjumpa satu sumber makanan yang lebih besar darinya, yang mana kalau kita pikir, makanan itu sudah pasti satu berita baik bukan, semut ni tak kedekut simpan pasal info baik ni sorang-sorang. sebaliknya semut ni tanpa berlengah akan balik dahulu ke markas dan bagitahu kawan-kawan dia yang lain macam ni:

"wooot2..korang aku jumpa port baik punya..ada banyak gula-gula best..jom kita angkut gula-gula tu balik markas jom.."

*agaknya la macam ni..reka je..tak belajar lagi bahasa semut:P:P*

dan agak-agaknya apa respon semut-semutan yang lain? mereka tanpa berlengah akan bergerak dalam barisan, diulang DALAM BARISAN menuju ke arah sumber makanan itu. dan dengan KERJASAMA yang tinggi, mereka akan mengangkut makanan itu kembali ke markas mereka.

Subhanallah. semut pun pandai bekerjasama dan kerja mereka tersusun. Dan kita pula bagaimana? Bukankah kita selalu claim yang kita ni makhluk Allah yang istimewa? lupakah kita pada firman Allah:


 إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِهِۦ صَفًّ۬ا كَأَنَّهُم بُنۡيَـٰنٌ۬ مَّرۡصُوصٌ۬
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. 
(61:4) 



Allah dah bagitahu dah dalam surat cintaNYA yang DIA kasih kat orang buat kerja dalam barisan tersusun rapi, seolah-olah kita muslim ini ibarat batu-bata yang tersusun rapi. Seperti mana bagaimana semut yang beratur tertib menuju ke arah matlamat mereka iaitu makanan yang manis itu, sewajibnya kita juga begitu. Jika semut pun pandai mengikut sunnatullah yang disediakan Allah, kenapa kita manusia yang diberi akal kadang-kadang masih lengah-lengah untuk menggerakkan diri bersama dengan gerombolan dakwah untuk mencapai ustadziatul alam?

ayuh gerakkan langkahmu. sertai mana-mana kereta api dakwah yang destinasinya akhirat yang kekal abadi. kerana ustadziatul alam itu pasti terjadi, walaupun kita tidak turut menyertai.

Allahu a'lam

Saturday, June 2, 2012

sebuah hati

بسم الله الرحمن الرحيم

hati.

isinya tiada siapa yang tahu.

melainkan kita dan Allah.

hanya antara kita dan Allah.

tiada yang dapat menembusi hati melainkan Allah. Allah tahu apa yang ada dalam hati.

tatkala hati mendetikkan perkara kebaikan, Alhamdulillah. tapi sepanjang kehidupan ini, entah berapa kali cuma hati larut dalam pahala.

dan tatkala hati melukiskan perkara mungkar, Allah, Allah, Allah, Astagfirullah al-'azim.

tatkala hati dipenuhi prasangka, tatkala hati dibaluti hasad belaka. Allah Allah Allah. entah sudah kali keberapa juta hati tenggelam dalam dosa. Allah.

sungguh terasa malu pada Allah. malu pada dosa yang mungkin lebih berat daripada bukit uhud. malu pada diri yang bakal menjadi saksi.

Allahumma firghli, Allahumma firghli, Allahumma firghli.


يَعۡلَمُ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَيَعۡلَمُ مَا تُسِرُّونَ وَمَا تُعۡلِنُونَ‌ۚ وَٱللَّهُ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ
Dia mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi dan Dia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang kamu zahirkan dan Allah sentiasa Mengetahui segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada
(64:4)

Thursday, May 24, 2012

ad-dunia mazraatul akhirah


بسم الله الرحمن الرحيم
 "hidup hanya sekali bhai. Lek la. Enjoy dulu. Dah tua nanti tak boleh nak enjoy dah"
"We only live once. Grab all the opportunities to fulfill our desires. Chill man"
 Dulu-dulu, zaman Friendster kala, aku juga berpikir demikian. Yang hidup didunia ini hanya sekali. Betul. Memang kita hidup didunia hanya sekali. Kemudian kita pasti akan mati. Jadi sebelum mati, haruslah menikmati kehidupan dunia dengan riang gembira. Ye dak?

Tapi sekarang, dah zaman facebook pula, rupanya-rupanya pemikiran aku selama ini tersilap. We live not once but twice. Yep. Kita hidup dua kali. Eh bukan maksudnya mati hidup semula kat dunia ni, sebaliknya kita mati dan hidup semula diakhirat.

Yang mana kehidupan yang kedua itu kekal abadi, tiada lagi mati. Dan yang pasti, pada kehidupan kedua itu juga yang menentukan kebahagiaan eternity atau siksaan yang tiada henti. Kita semua maklum akan hal itu. Kita tahu tentang itu.


Tapi sayangnya rata-rata antara kita (termasuk aku sendiri T_T)masih juga mengutamakan kehidupan yang sementara. Eh tidak percaya? Cuba tengok planner anda. Adakah dipenuhi dengan urusan dunia atau urusan akhirat? Jika planner dipenuhi halaqah, dakwah dan tarbiyah, Alhamdulillah. Tetapi jika dipenuhi dengan berjimba dihujung minggu,tengok wayang malam rabu etc, mungkin kita kena duduk sebentar dan bermuhasabah : ke mana tujuan hidup aku diarahkan sebenarnya?

Mahu tidak mahu, rela tidak rela, kita tiada pilihan. Sememangnya kita semua saat ini sedang menuju ke arah kehidupan akhirat itu sendiri. Masa semakin pendek kerana hari demi hari kematian semakin menghampiri.  Dan kita tak boleh lari atau bersembunyi. Itu pasti.

Jadi ayuh. Masih punya kesempatan untuk kita mengarahkan kehidupan kepada Allah yang satu. Masih punya waktu untuk kita kejar kehidupan riang ria tanpa duka di akhirat kelak. Kita tiada pilihan melainkan menggunakan kehidupan dunia sebagai jambatan untuk kesenangan hidup di akhirat. Ad-dunia mazraatul akhirah. Jadikan dunia kebun kepada akhirat.

Akhir kata, tepuk dahi cubit pipi gigit jari tanya hati:

We only live twice. One is temporary, another is permanent. Which one will be our priority?

وَمَآ أُوتِيتُم مِّن شَىۡءٍ۬ فَمَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَزِينَتُهَا‌ۚ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ خَيۡرٌ۬ وَأَبۡقَىٰٓ‌ۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ

Dan apa jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan kepada kamu, maka adalah ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya; dalam pada itu, apa jua yang ada di sisi Allah (yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan taat) adalah ia lebih baik dan lebih kekal; maka mengapa kamu tidak mahu memahaminya?
(28:60)

Allahu a'lam

Thursday, May 17, 2012

Burung=bebas?

بسم الله الرحمن الرحيم

Di situ aku duduk memerhatikan. Unzur kalau dalam istilah arabnya. Memerhatikan pokok dan burung-burng yang terbang bebas.

jika dahulu, aku kepingin sekali ingin menjadi seperti burung. Kerana burung bisa terbang tinggi. Burung bisa membawa diri kemana sahaja ia mahu dengan sayapnya. Bebasnya burung pada pemikiranku.

tetapi kini aku bersyukur dijadikan sebagai manusia. Kerana sebagai manusia aku dikurniakan akal fikiran untuk membuat pilihan. Burung tidak dikurniakan akal ini. Dengan akal ini aku mampu berfikir tentang burung itu sendiri.

Menariknya burung itu, ia bisa kembali ke sarang setelah seharian berjalan tanpa sesat tanpa petunjuk jalan. Di langit mana ada jalan raya, lampu trafik dan petanda jalan. Jadi bagaimana burung mampu pulang ke rumahnya dengan selamat? Subhanallah indahnya ciptaan Allah. Di situ tersembunyi kekuasaan Allah buat mereka yang berfikir. Betapa cantiknya guidance yang Allah beri kepada burung, dengan tanpa bantuan jalan raya masih membolehkan burung pulang ke sarang. Dan sudah pastinya burung sentiasa bertasbih kepada Allah dengan caranya.


Dan bagaimana pula kita yang istimewa ini? Dengan kelebihan akal yang Allah beri kadang-kadang membuatkan kita angkuh. Kita malas untuk bertasbih. Bibir kita lebih selesa melazimi lagu-lagu berbanding zikir kepada Allah. Astagfirullah al-'azim. Dan kita juga ingin menjadi bebas seperti burung. Tetapi bebas bagaimana yang kita inginkan?

Adakah dengan menjalani kehidupan moden dengan pergaulan bebas tanpa batas menjadi indicator kebebasan kita? Adakah dengan sentiasa updated dengan filem-filem atau lagu-lagu carta billboard menjadi necara kebebasan kita? Atau adakah dengan melancong ke seluruh dunia dengan niat hanya sekadar melawat tempat-tempat famous menjadi asas kebebasan kita?

Jika itu yang menjadi asas timbangan kebebasan kita, sudah jauh sangat kita tersasar. Sesungguhnya kebebasan sebenar adalah apabila kita terbebas dari ikatan-ikatan nafsu dunia. Kebebasan itu adalah apabila kita meletakkan segalanya berdasarkan neraca syariat Islam yang dah ditetapkan Allah. Jika tidak, kita hanyalah sekadar satu jasad yang bebas tetapi ruh kita masih terpenjara oleh karat-karat jahiliyah dunia.

Masih belum terlewat untuk kembali. Masih ada masa lagi insyaAllah. Ayuh sama-sama kita bergandingan menjadi seperti burung. Bebas tetapi sentiasa bertasbih dan mengikuti jalan yang disusun Allah buatnya. Allahu a'lam.

Sunday, May 6, 2012

Kun Fayakun

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah. Semalam dapat merasa nikmat berpiknik sambil berbulatan ceria secara live buat pertama kalinya.

ya benar. baru semalam buat pertama kali aku merasakan bulatan ceria secara mata bertemu mata. selama ini hanya bertemu di alam maya. tetapi bukan ini yang hendak aku ceritakan.

Semalam Allah mengajar aku suatu perkara yang sangat besar. yang mana aku dapat merasakan betapa besarnya kuasa Allah itu. Betapa besarnya kuasa kun fayakun dari Allah itu. Allah..terima kasih. *terharu*

Hari sebelum ke tempat piknik, salah seorang adikku Y memberitahu yang esok, menurut weather forecast, kemungkinan besar hujan akan turun. Mungkin terpaksa batalkan piknik kalau lebat. Aku sedapkan hati aku dan dia, "tape..kita tunggu esok eh.Doa banyak-banyak kat Allah. InsyaAllah okay:)"

Esoknya, sewaktu sepanjang perjalan kami, hujan rintik yang kadang kala lebat turun. Aku pasrah. Adik-adikku Y, F dan N mula menarik muka sedih kerana mungkin tidak dapat piknik. Dalam hati aku berdoa kepada Allah. " Ya Allah, jika piknik ini adalah perkara terbaik buat kami, maka permudahkanlah ya Allah. Hilangkan hujan. Sesungguhnya aku yakin, engkau akan membantu mereka yang mahu membawa orang lain kembali pada-Mu."

tinggal lagi satu stesen sebelum kami sampai ke lokasi. Hujan masih renyai-renyai. Adik-adikku sudah mula gelisah. Aku hanya mampu meminta mereka sama-sama berdoa kepada Allah.


tiba-tiba kami dapat rasakan pancaran matahari. Spontan kepalaku mendongak ke langit. Kelihatan awan seakan berarak pergi dan langit biru mula menampakkan wajah sedikit. Alhamdulillah,terima kasih Allah, detikku dalam hati.

Sesampainya kami ke lokasi, matahari pula memancarkan sinar menerangi hari yang tadinya mendung. Sungguh kontra suasana semasa kami dalam perjalanan dan semasa kami sampai ke lokasi piknik. Adik-adikku megukir senyum dimuka sambil mengucap syukur kepada Allah.

Dan aku disitu tersenyum. Tersenyum melihat langit sambil berterima kasih kepada Allah. Betapa Allah itu sangat mendengar doa hamba-Nya. Dan pada hari itu, aku belajar, untuk yakin sepenuhnya pada pertolongan Allah.

 يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ
 Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (7)

Allahu a'lam